Rabu, 7 November 2012

persediaan dalam pantang

PERSEDIAAN DIDALAM PANTANG

1. Semasa di dalam pantang, iaitu sesudah bersalin, berilah bayi minum susu ibu secara eksklusif. Pemberian susu yang kerap, mengikut permintaan bayi (biasanya lebih kurang setiap satu setengah jam ke dua jam sekali), akan meningkatkan pengeluaran susu.

2. Apabila pengeluaran susu sudah stabil lebih kurang 3 minggu sebelum keluar bekerja, berlatihlah memerah susu. (Anda mungkin telah pernah memerah susu sebelumnya terutama semasa payudara membengkak pada hari ketiga atau keempat sesudah bersalin). Waktu perahan yang sesuai adalah pada awal pagi atau pada bila-bila masa anda terasa pengeluaran susu agak berlebihan. 

3. Setiap perahan susu haruslah di label mengikut tarikh dan disimpan di dalam bahagian beku peti sejuk. Pada permulaan perahan anda mungkin mendapat susu yang amat sedikit. Janganlah bimbang kerana dari masa ke semasa anda akan dapat menambah jumlah perahan susu anda. Biasanya perkara ini terjadi kerana anda masih belum biasa dengan teknik perahan yang anda pilih dan anda mungkin berasa sedikit tertekan, tetapi lama kelamaan apabila anda telah biasa dengan teknik perahan, anda akan berasa lebih yakin dan tenang, dan seterusnya pengeluaran susu juga akan bertambah.

4. Tentukan siapakah yang akan menjaga bayi anda semasa keluar bekerja. Anda perlu melatih penjaga bayi anda itu dengan kaedah yang betul mengenai cara pemberian susu ibu kerana beliau akan menjadi kunci utama kejayaan pemberian susu ibu kepada bayi, semasa anda keluar bekerja. Jika anda bercadang untuk menghantar bayi ke Pusat Penjagaan Bayi, anda harus pastikan Pusat Penjagaan tersebut mampu untuk meneruskan rancangan pemberian susu ibu kepada bayi anda, jika tidak carilah pilihan yang lain.

Bagaimanakah Untuk memastikan penghasilan susu ibu mencukupi???


 1. Mulakan penyusuan awal dalam masa 1 jam selepas kelahiran.
2. Memberi penyusuan susu ibu dengan kerap 10 - 12 kali sehari dan bila-bila perlu (Demand feeding).
3. Tidak memberi bayi minuman lain selain susu ibu.
4. Tenangkan fikiran dan rehat secukupnya.
5. Makan makanan seimbang dan minum secukupnya mengikut keperluan.
6. Teruskan penyusuan di waktu malam untuk menggalakkan penghasilan susu yang banyak.
7. Menyusu dengan posisi dan pelekapan yang betul.
8. Pastikan tiada puting kosong / puting piring.
9. Makanan tambahan dimulakan pada umur 6 bulan.

--Dipetik dari "Penyusuan Susu Ibu Pilihan Terbaik" (Risalah keluaran Hospital Kuala Lumpur)
 
 PERSEDIAAN PENGASUH BAYI SEBELUM IBU KEMBALI BEKERJA


 1. Kira-kira 2 minggu sebelum anda keluar bekerja, anda bolehlah mula melatih bayi anda menerima susu perahan anda sedikit demi sedikit. Jadual latihan pemberian susu ibu ini perlu diubahsuai mengikut kesesuaian masa bekerja anda.

2. Andaikan anda keluar bekerja selama 10 jam (termasuk waktu perjalanan pergi dan balik ke/dari tempat kerja), bayi anda perlu diberi minum setiap 2-3 jam sekali. Oleh itu anda mungkin membahagikan jadual pemberian susu kepada 4 ke 5 blok waktu iaitu 4 atau 5 kali selama 10 jam.

3. Mulakan jadual dari rutin hari pertama latihan hingga hari ketiga dengan pemberian susu perahan sekali pada blok pertama dari jadual pemberian susu. Untuk blok waktu selebihnya berikan susu ibu terus dari payudara anda.


4. Pada hari keempat hingga keenam, berikan susu perahan untuk dua blok pertama dan blok selebihnya berikan susu anda secara terus kepada bayi.

5. Pada hari ketujuh hingga kesembilan, berikan pula untuk tiga blok pertama diikuti blok seterusnya dengan pemberian susu ibu secara terus.

6. Teruskan latihan hingga blok keempat pada hari kesepuluh hingga keduabelas. Sekiranya anda hanya melatih bayi untuk 4 blok waktu, bayi anda sekarang sepatutnya telahpun membiasakan diri dengan rutin susu perahan. Sekiranya anda mempunyai 5 blok, teruskan lagi latihan dari hari ketigabelas hingga hari kelimabelas. (Ini bermakna anda perlu bermula 15 hari sebelum keluar bekerja).

MASA YANG SESUAI UNTUK MEMERAH SUSU
 
Masa yang sesuai untuk memerah susu untuk ibu bekerja adalah : 

  • waktu rehat pagi: 10:00-10:30 pagi
  • waktu makan tengahari: 12:30-1:00tengahari
  • waktu rehat petang: 3:00-3:30 petang 

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...